NAK KELUARKAN DUIT KWSP ARWAH SAHAJA PUN TETAPI DILONTAR KE SANA KE MARI

Adakah anda pernah mengalami pengalaman seperti ini?

Atau adakah anda pernah mendengar permasalahan begini?

Masalah ini sebenarya tidak asing dan bukan perkara terpencil. Banyak aduan dan keluhan masyarakat tentang hal begini.

Sebagai pengamal undang-undang, saya biasa menemui 2 keadaan kes:

1. Berlaku kematian dan waris terus berjumpa dengan peguam. Waris tidak melalui pengalaman ngeri dilontar-lontar. Tetapi selalunya saya akan menerima kes dalam situasi kedua ini iaitu;

2. Waris telah give up dan berputus asa selepas dilontar dari bank/pejabat tanah/kwsp ke Amanah Raya, kemudian dilontar ke Pejabat Pusaka Kecil. dari pejabat pusaka di lontar balik ke pejabat tanah kemudian dilontar balik ke pejabat pusaka. kemudian dilontar pula ke Pejabat agama. Tidak berakhir di situ di lontar lagi ke Mahkamah dan Mahkamah akan mengarahkan waris mencari peguam dan waris pun "give up." 

Sebahagian besar waris akan mengalami trauma dan kemurungan. Kemurungan yang bagai mana? Kemurungan yang menyebabkannya berdiam diri, tidak mahu bercakap dan berbincang tentang pusaka tersebut dan fobia untuk kembali urus pusaka tersebut. Tidak mahu mendengar apa-apa berkaitan pusaka. Mula mengeluarkan dan menyebarkan persepsi buruk tentang sistem pengurusan pusaka di Malaysia. Manakala sebahagian kecil waris, dengan sisa kudrat dan semangat yang berbaki...mula mencari peguam untuk membantu menyelesai urusan pusaka kerana sayangkan arwah yang telah pergi tetapi urusannya masih tergendala.

Di sini saya kongsikan beberapa contoh situasi yang biasa berlaku yang merupakan langkah silap di ambil oleh waris semasa urus harta pusaka.

Situasi 1
Beranggapan kematian seorang Islam perlu diuruskan di pejabat agama. Langkah ini silap kerana tiada urusan pentadbiran pusaka di buat di pejabat agama.

Situasi 2
Di arahkan oleh Pejabat agama untuk ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan Perintah Faraid. Perlu dinilai terlebih dahulu keperluan untuk mengambil Perintah Faraid kerana bukan semua kes memerlukan Perintah Faraid walaupun si mati seorang Islam.

Situasi 3
Setelah mendapat Perintah Faraid, lalu mengemukakan Perintah Faraid ke Pejabat tanah/bank/JPJ. Ini adalah langkah yang akan mengundang kekecewaan waris kerana Perintah tersebut akan ditolak mentah-mentah oleh institusi berkenaan. Kenapa? Kerana mereka hanya akan  melakukan turunmilik pusaka kepada waris dengan Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian.

Situasi 4
Waris terus ke Amanah Raya apabia berlaku kematian tetapi permohonan ditolak kerana arwah mempunyai harta tidak aih (rumah/tanah) atau harta alih yang arwah miiki bernilai lebih RM600,000.

Situasi 5
Waris terus ke Amanah Raya apabia berlaku kematian tetapi permohonan ditolak kerana dokumen sokongan tidak mencukupi. Waris hendaklah melengkapkan semua dokumen sokongan yang diperlukan.

Situasi 6
Waris kembali ke Amanah Raya dan telah melengkapkan semua borang permohonan dan dokumen sokongan tetapi tidak diangkat sumpah di hadapan pesuruhjaya sumpah dan belum disetemkan atau setem belum dimatikan oleh LHDN. Permohonan tidak lagi boleh diterima dalam keadaan begini.

Situasi 7
Waris terus ke Amanah Raya apabia berlaku kematian tetapi penyata akaun harta pusaka arwah menunjukkan nilai melebihi RM50,000 dan waris diminta untuk mendapatkan Perintah Faraid dari Mahkamah Syariah.

Situasi 8
Waris ke Pejabat Pusaka Kecil tetapi kes ditolak atas sebab si mati tiada tanah/rumah atau tanah dan rumah berada di daerah lain. 

Situasi 9
Waris ke Pejabat Pusaka Kecil tetapi kes ditolak atas sebab dokumen tidak cukup. Biasanya waris tidak mengemukakan carian rasmi hakmilik terkini hartanah dan tidak mengemukakan resit cukai tanah dan cukai taksiran harta. Waris perlu ke pejabat tanah dahulu di mana tanah tersebut berada untuk membuat carian hakmilik dan membayar cukai tanah serta ke Majlis Daerah/Perbandaran/Bandaraya untuk membuat bayaran cukai taksiran harta.

Situasi 10
Waris telah menghantar permohonan pusaka ke Amanah Raya/Pejabat Pusaka tetapi nilaian pusaka melebihi had bidangkuasa Amanah Raya/Pejabat Pusaka. Permohonan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kisah untuk di ambil ikhtibar
-----------------------------------------
Semasa saya sedang menunggu giliran untuk perbicaraan kes anak guam saya, terperasan akan seorang Makcik yang berumur sekitar 60-an datang ke kaunter Pejabat Pusaka Kecil untuk bertanya tentang urusan pusaka anaknya.

Saya terdengar yang Makcik ni nak keluarkan duit KWSP anaknya yang meninggal dunia 2 bulan lepas. Duit dalam RM30,000 sahaja. KWSP suruh ke pej. pusaka. sampai dekat pejabat pusaka ni...disuruh pula ke Amanah Raya.

Bila Makcik tu bergerak meninggalkan kaunter dan keluar dari pej. pusaka, saya pun tegur makcik dan tanyalah apa masalahnya. Makcik tu meluahkan pearasaannya yang sedih kerana disuruh ke sana dan ke mari. Dia jadi bingung ke mana sebenarnya hendak dituju. Untuk ke Amanah raya, perlu ke daerah lain yang jaraknya kira-kira 70km dari rumahnya.
---------------------------------------------------------------

📌Harta yang ditinggalkan oleh arwah hanya duit KWSP.
📌Tiada tanah/rumah.
📌Tiada kenderaan.
📌Tiada simpanan/pelaburan/insuran/takaful
Dalam kes begini untuk pengeluaran duit KWSP itu hanya perlu salah satu dari dokumen berikut:

PERINTAH FARAID MAHKAMAH SYARIAH; atau
SURAT KUASA AMANAH RAYA

Dalam situasi makcik ini:
Jika ke Amanah Raya
🔸Jarak 70km sehala
🔸Proses lebih kurang 6 bulan

Jika ke Mahkamah Syariah
🔸Jarak 10km sehala
🔸Proses lebih kurang 1 bulan

Atas pertimbangan tersebut, saya cadangkan Makcik tersebut mendapatkan Perintah Faraid dari Mahkamah Syariah sahaja.

Mahkamah Syariah ya...BUKAN Pejabat Agama

Kebanyakan tempat Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah berada di bangunan yang berbeza. Ramai salah faham dengan beranggapan perlu ke Pejabat Agama untuk mendapat Perintah Faraid.
----------------------------------------
Boleh ke KWSP menerima Perintah Faraid Mahkamah Syariah?
BOLEH ---> Sila rujuk gambar di bawah.




Itulah masalah kebanyakan orang kita tidak tahu prosedur urus pusaka. Ilmu urus pusaka ni memang sangat-sangat penting. setiap orang perlu tahu. Kalau bukan untuk urus harta pusaka ibu ayah kita mahupun pasangan kita, mungkin kita akan urus harta pusaka anak kita.
---------------------------------------------------------------------------
Kesimpulannya, adalah lebih baik setiap dari kita mempelajari atau memiliki asas pengetahuan pentadbiran harta pusaka. Jika tidak, apabila berlaku sesuatu kematian dalam keluarga, rujuklah pada Peguam atau Perunding Harta Pusaka yang bertauliah.

Oleh, 
Peguam Syarie
Facebook page:
Pakar Pusaka Islam
Norhanisah Pidaus & Associates PLT
Faraid Mudah Faham

Ulasan