Waris sebenarnya boleh menolak bahagian pusaka. Bagaimana caranya?

Ramai yang bertanya pada saya tentang pengiraan-pengiraan faraid yang berhak diterima dari harta pusaka arwah dan juga bagaimana caranya hendak menuntut harta-harta pusaka arwah.

Namun tidak kurang juga yang bertanya pada saya bagaimana caranya pula untuk menolak bahagian dari pusaka yang diterima.


Begini tuan-tuan dan puan-puan, dalam prinsip pembahagian harta pusaka Islam terdapat satu doktrin yang dipanggil Doktrin Al-Takharuj. Berdasarkan prinsip ini, mana-mana waris dibolehkan menarik diri daripada mengambil harta pusaka samada sebahagiannya ataupun keseluruhannya  dengan menyerahkannya kepada salah seorang waris atau  beberapa orang waris yang lain samada dengan menerima bayaran tertentu ataupun tidak.



Doktrin ini boleh dibahagikan kepada tiga keadaan iaitu:


  1. Seorang waris menarik diri dengan memberi keseluruhan bahagiannya kepada seorang waris;
  1. Seorang waris menarik diri dengan memberi keseluruhan bahagiannya kepada semua waris; atau
  1. Seorang waris menarik diri dari menerima sebahagian harta tetapi masih menerima sebahagian harta pusaka.

Contohnya seorang Bapa menerima sebanyak 2/12 pusaka yang ditingalkan oleh anaknya yang telah meninggal dunia. Bapa tersebut bercadang untuk memberi keseluruhan bahagian yang berhak diterimanya daripada pusaka anaknya itu kepada cucunya iaitu anak kepada anaknya yang telah meninggal dunia.

Oleh itu, bahagian yang diterima oleh cucunya yang pada asalnya hanyalah 7/12 bahagian kini menjadi 9/12 bahagian setelah dicampur dengan bahagian faraid Bapa. Rajah dibawah menerangkan dengan lebih terperinci penolakan bahagian tersebut.
Seorang waris menarik diri dengan memberi keseluruhan bahagiannya kepada seorang waris

Dalam situasi Bapa juga boleh menolak keseluruhan bahagian yang diterimanya dalam harta pusaka anaknya tanpa memberi secara spesifik kepada mana-mana waris atau memberi secara sama rata kepada semua waris yang lain.

Oleh itu, bahagian semua waris akan bertambah dengan kadar yang sama seperti yang ditunjukkan di dalam rajah di bawah.
Seorang waris menarik diri dengan memberi keseluruhan bahagiannya kepada semua waris

Bapa yang menerima 2/12 bahagian pusaka juga boleh memilih untuk menolak sebahagian harta  pusaka yang diterimanaya. Contohnya bapa bercadang untuk mengambil 1/12 sahaja manakala 1/12 lagi diserahkan kepada cucunya sepertimana yang ditunjukkan di dalam rajah di bawah.
Seorang waris menarik diri dari menerima sebahagian harta tetapi masih menerima sebahagian harta pusaka

Bagaimana caranya hendak menolak bahagian tersebut?

Di dalam praktis pentadbiran harta pusaka di Malaysia sememangnya mengamalkan prinsip ini dalam pembahagian harta pusaka orang Islam. Prinsip penolakan bahagian oleh waris-waris ini diamalkan disemua peringkat pentadbiran iaitu di Amanah Raya, di unit Pembahagian Pusaka Kecil dan juga di Mahkamah Tinggi.

Tidak terlepas pandang juga, Mahkamah Syariah ada menyediakan Sijil Akuan Takharruj apabila ada waris-waris yang menarik diri dari menerima bahagian faraid bagi sesuatu kes kematian.



Ok. Cumanya isu yang berlegar-legar dikalangan waris, bagaimana caranya hendak menolak bahagian tersebut?

Iya, ini yang ramai keliru dalam penolakan bahagian faraid. Ramai beranggapan setelah memberitahu kepada waris yang lain bahawa dia tidak mahu dan tidak akan menuntut bahagian pusaka arwah sudah menyelesaikan masalah. SEBENARNYA TIDAK!

Penolakan bahagian faraid hendaklah dibuat mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan berbeza-beza mengikut tempat dimana harta tersebut ditadbirkan.

Amanah Raya Berhad

Di Amanah Raya Berhad menyediakan Surat Persetujuan Penolakan /Pakatan.

Surat ini disedikan dalam bentuk borang dan boleh diperolehi dari Amanah Raya berhad.

Surat ini hendaklah ditandatangani oleh semua waris atau waris yang berkenaan sahaja (yang hendak menolak bahagian). 

Setelah itu, hendaklah ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah.

Unit Pembahagian Pusaka Kecil

Di pusaka kecil juga, waris-waris boleh menolak bahagian faraid yang diterima dari harta pusaka si mati. Penolakan tersebut boleh dibuat secara lisan semasa sesi perbicaraan yang ditetapkan di hadapan Pentadbir Tanah.

Jika ada waris yang tidak dapat hadir untuk memberi akuan lisan tentang penolakan tersebut, penolakan tersebut hendaklah dibuat dengan mengisi Borang DDA iaitu Borang Persetujuan. Borang ini juga disediakan dalam format yang telah ditetapkan oleh unit Pusaka Kecil dan tidak boleh diubah dalam bentuk akuan yang lain.

Sepertimana surat persetujuan Amanah raya, Borang DDA ini juga hendaklah diangkat sumpah oleh waris yang berkenaan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah sebelum difailkan ke Unit Pusaka Kecil.

Mahkamah Tinggi

Di Mahkamah Tinggi, penolakan bahagian boleh dilakukan melalui Afidavit. Setiap waris yang hendak melepaskan bahagiannya boleh menyatakan hasratnya itu di dalam Afidavit dan diangkat sumpah dihadapan Hakim atau pendaftar mahkamah atau Pesuruhjaya Sumpah. 

Begitu juga penolakan bahagian faraid boleh dibuat di Mahkamah Syariah melalui Afidavit.

Penolakan adalah Muktamat

Penolakan bahagian pusaka/faraid yang telah dibuat oleh waris-waris melalui kaedah-kaedah di atas adalah muktamat dan tidak boleh diubah-ubah lagi.

Ulasan