Kes ini hampir ke Mahkamah Tinggi tetapi akhirnya dapat selesai dengan baik

Mari ambil iktibar dari kes ini.

8 beradik berumur antara 60 hingga 75 tahun akhirnya mengakhiri persengketaan keluarga selama lebih kurang 10 tahun akibat salah faham dalam urusan pentadbiran harta pusaka arwah bapa mereka.
Arwah bapa meninggal pada tahun 2010 meninggalkan sebidang tanah bernilai RM200,000. Pertikaian bermula apabila anak ke-5 arwah telah mendakwa arwah telah membuat surat sumpah membahagi harta kepada 9 bahagian dengan dia mendapat 2 bahagian lebih berbanding adik-beradik yang lain.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila anak ke-5 tersebut telah membeli bahagian 2 orang adiknya tetapi urusan pindahmilik tidak dilakukan. Setelah beberapa tahun, anak ke-5 tersebut cuba mendaftarkan jualbeli tanah di pejabat tanah tetapi urusan ditolak kerana geran masih atas nama arwah bapa mereka.
4 orang daripada mereka pula telah membina rumah masing-masing di atas tanah pusaka tersebut dengan mengandaikan luas tapak bahagian masing-masing.
Keadaan berlarutan sehingga berlaku kematian anak sulung arwah menjadikan kematian berlapis menyebabkan adik-beradik yang tinggal berebut untuk memiliki bahagian abang sulung mereka yang meninggal bujang.


Beberapa siri pergaduhan berlaku apabila anak ke-2 cuba berunding untuk membawa urusan ini ke pejabat pusaka tetapi ditentang oleh anak ke-5 tadi kerana risau bahagiannya menjadi kecil apabila mengikut pembahagian faraid berbanding bahagian yang telah diberi oleb arwah bapa mereka melalui surat sumpah. Anak ke-5 juga takut bahagian tanah bagi 2 orang adik yang telah dibelinya dengan harga 70 ribu ringgit dapat semula kepada mereka.
Bagi memastikan bahagiannya selamat, anak ke-5 tersebut telah berjumpa peguam untuk membawa kes ini ke mahkamah. Namun, malangnya persetujuan dari 2 orang adik yang telah menjual bahagiannya gagal diperolehi malah mereka menuntut bahagian mereka dalam harta pusaka arwah bapa seolah-olah tiada jual beli berlaku.
Tindakan anak ke-2 disokong oleh 3 beradik yang lain termasuk 2 adik yang telah menjual tanahnya utk menjalankan pembahagian harta pusaka secara faraid manakala tindakan anak ke-5 pula disokong oleh 2 beradik yang lain utk mendapatkan pengesahan surat sumpah yang arwah buat.
Disebabkan itu, anak ke-2 terpaksa mendapatkan khidmat nasihat guaman juga bagi menyelesaikan masalah tersebut. Walaubagaimanapun kes ke mahkamah tinggi tertangguh ekoran mereka adik-beradik tidak mampu untuk menampung yuran guaman yang tinggi.
Akhirnya, atas inisiatif anak ke-2 melantik peguam hanya untuk memberi penerangan kepada adik beradiknya yang lain, kes ini berjaya diselesaikan dengan baik dalam masa 3 bulan di unit pusaka kecil selepas semua waris sedia memberi kerjasama.

Ulasan