WASIAT/HIBAH YANG DIBUAT KETIKA SAKIT TIDAK SAH?

Kesedaran masyarakat dalam menyediakan wasiat dan hibah bertulis semakin meningkat. Namun malangnya, ramai yang menangguh hasrat untuk melakukannya sehingga mengalami sakit.
Sakit yang dialami adalah sakit yang teruk serta melalaikannya pada hal-hal dunia. Apa yang difikirkannya hanyalah kematian. Penderitaan sakit tersebut mendorongnya untuk segera melakukan sesuatu terhadap harta-harta yang bakal ditinggalkannya nanti.
Ketika itu pertimbangan akal warasnya sudah dipengaruhi oleh kematian dan memaksanya untuk menyelesaikan hal ini dalam kadar yang segera. Adakah tindakan menulis wasiat dan hibah pada ketika sakit teruk ini dibolehkan oleh undang-undang syarak?


Pendapat Ibn Qudamah di dalam kitabnya Al-Mughni yang menyatakan bahawa marad-al-maut adalah sakit hingga kematian. Merujuk kepada perkara 1595 Majallah al-Ahkam al-Adliyyah, istilah marad al-maut bermaksud sakit yang kebanyakannya membawa kepada kematian, di mana sakit itu boleh melemahkan orang sakit daripada melihat maslahat (kepentingan) di luar rumahnya jika dia seorang lelaki, dan melemahkannya daripada melihat maslahat (kepentingan) di dalam rumahnya jika dia seorang perempuan. Pesakit itu mati dalam keadaan sedemikian sebelum berlalu masa satu tahun sama ada dia terlantar atas katil atau sebaliknya.
Daripada definasi di atas, perkataan marad al-maut mempunyai ciri-ciri berikut:
i. sesuatu penyakit itu yang meyebabkan kematian.
ii. kematian yang diakibatkan oleh sesuatu penyakit itu berlaku dalam masa satu tahun 
iii. sesuatu penyakit itu boleh membuat seseorang pesakit itu lupa atau lalai tentang kepentingan yang bersifat keduniaan.

Hibah yang dibuat oleh seseorang yang dalam keadaan marad-al-maut sama seperti pemberian melalui wasiat secara tidak langsung tertakluk kepada hukum wasiat iaitu pemberian kepada waris hendaklah mendapat persetujuan waris-waris yang lain.
Hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud “Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.”
Di dalam Majallah al-Ahkam al ‘Adliyyah menerangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan hibah yang dibuat ketika marad-al-maut iaitu:
i. Apabila seseorang yang tidak mempunyai waris menghibahkan semua hartanya kepada seseorang pada masa marad al-mawt, kemudian pemberian itu diterima maka hibah itu hukumnya adalah sah (Perkara 877).
ii. Apabila seseorang suami menghibahkan semua hartanya kepada isterinya atau sebaliknya pada masa marad-al-maut dan hibah itu telah diterima, sedangkan mereka tidak mempunyai waris lain, maka hibah itu juga hukumnya sah dan baitulmal tidak boleh campurtangan dalam harta peninggalannya (Perkara 878).
iii. Apabila seseorang telah menghibahkan sesuatu harta kepada salah seorang daripada waris pada masa marad-al-maut dan selepas kematiannya waris-waris lain tidak bersetuju, maka hibah itu hukumnya tidak sah (Perkara 879).
Merujuk kepada hadis di atas dan penerangan di dalam Majallah al-Ahkam al ‘Adliyyah, hibah ketika marad-al-maut hanya sah jika mendapat persetujuan dari kesemua waris-waris yang berhak dalam harta pusaka si mati.

Pesanan iklas dari kami:
JANGAN TUNGGU SAKIT BARU HENDAK BUAT WASIAT ATAU HIBAH

Ulasan