WASIAT TERBATAL BILA DIBANTAH OLEH WARIS?

Wasiat bukanlah instrumen yang terbaik untuk memastikan bahawa harta pusaka akan dibahagi seperti mana yang diwasiatkan kerana:
a.    Wasiat boleh terbatal dengan mudah jika ada ahli waris yang tidak bersetuju dengan pembahagian yang dinyatakan dalam wasiat tersebut.
b.    Wasiat adalah tidak sah kepada ahli waris.
c.    Statistik kami hanya 10% sahaja setuju manakala yang lain akan batalkan wasiat dan mengikut faraid.

Di atas ini adalah jawapan balasan yang diterima daripada seorang penganalisis harta pusaka dan faraid dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Namun jawapan saya pula sebagai pengamal undang-undang yang telah menguruskan wasiat dan harta pusaka tidak berwasiat selama lebih kurang 7 tahun ini mendapati praktis yang berbeza dengan jawapan di atas.


Wasiat terbatal dengan mudah jika ahli waris tidak bersetuju

Adakah semudah itu wasiat dibatalkan? Perlu difahami terlebih dahulu apa sebenarnya wasiat dan apa yang waris tidak bersetuju. 

Wasiat bukanlah semata-mata pemberian harta pusaka kepada waris. Wasiat sebenarnya adalah satu dokumen khusus perlantikan wasi iaitu pentadbir harta pusaka. Wasi ini adalah orang yang bertanggungjawab untuk menggerakkan proses pentadbiran harta pusaka iaitu mendapatkan surat kuasa mentadbir yang sepatutnya dijalankan oleh waris.

Tujuan mendapatkan surat kuasa mentadbir adalah bagi membolehkan pertukaran nama si mati kepada nama waris dibuat di atas geran dan penutupan akaun simpanan si mati agar semua wang simpanan dan pelaburannya dapat dikeluarkan dari institusi kewangan dan diagih kepada waris. Namun,perlantikan wasi ini dianggap lebih relevan pada masa kini kerana kealpaan dan pengabaian waris dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut atas berbagai alasan. 

Antara faktor penangguhan waris melaksanakan pentadbiran harta pusaka adalah waris sibuk dengan komitmen peribadi dan kerjaya. Ramai waris juga yang tidak memahami dan mengetahui proses pentadbiran harta pusaka sehingga timbulnya salah faham, tolak-menolak tanggungjawab dan lepas tangan (tidak mahu masuk campur). Sengketa ini berlarutan bertahun lamanya sehingga berlakunya kematian berlapis yang menyebabkan bilangan waris yang berhak atas pusaka tadi bertambah ramai. Akhirnya pusaka si mati terbiar tidak ditadbir sekian ama termasuk hutang-piutangnya tidak dilunaskan.


Selain melantik seorang wasi, wasiat juga merupakan satu dokumen yang menggariskan tugas-tugas dan tanggungjawab wasi iaitu bermula dengan mendapatkan probet (surat kuasa mentadbir bagi kes berwasiat), mengumpulkan harta peninggalan pewasiat, membayar hutang-piutang pewasiat dunia dan akhirat, melaksanakan pemberian harta kepada golongan bukan waris seperti sedeah, wakaf dan anak angkat seperti yang diarahkan oleh pewasiat selagimana ianya tidak melebihi 1/3 dari keseluruhan harta dan seterusnya mengagihkan baki harta kepada waris-waris berdasarkan hukum syarak.

Mendapatkan probet (surat kuasa mentadbir bagi kes berwasiat), mengumpulkan harta peninggalan pewasiat, membayar hutang-piutang pewasiat dunia dan akhirat, melaksanakan pemberian harta kepada golongan bukan waris adalah merupakan hak pewasiat yang tidak boleh dibantah oleh waris. Adakah perkara (a) di atas bermaksud juga waris tidak bersetuju dengan tugas wasi dalam menjalankan hak pewasiat?Adakah waris boleh membantah wasi dari melunaskan hutang-piutang pewasiat?

Di dalam surah an-Nisaa' ayat 11, Allah S.W.T telah berfirman bahawa pembahagian faraid yang diturunkan melalui surah an-Nisaa' ini hendaklah dilaksanakan selepas wasiat yang ditinggalkan oleh si mati diselesaikan dan juga sesudah dibayarkan segala hutang-piutang si mati. Firman Allah bermaksud, "...(Pembahagian itu) iailah sedudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya." (an-Nisaa' 4:11)

Oleh itu, rumusan saya di sini berkaitan pendapat (a) di atas adalah perlu dikenalpasti terlebih dahulu apa yang dibantah oleh waris-waris pewasiat. Jika bantahannya bukan berkaitan dengan perlantikan wasi dan tugas-tugas wasi, maka wasiat TIDAK TERBATAL.


Wasiat adalah tidak sah kepada ahli waris.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a, yang bermaksud "tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain"

Dari sudut praktis, wasiat sering dikaitkan dengan kaedah pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh pewasiat berdasarkan hasratnya. Oleh itu terhasillah berbagai bentuk pengagihan yang dibuat oleh pewasiat-pewasiat di dalam wasiat termasuk juga pemberian harta pusaka kepada ahli waris faraidnya sendiri. Praktis di Malaysia, sekiranya terdapat wasiat yang ditulis pemberian harta kepada ahli warisnya sendiri, maka iainya tertakluk kepada Faraid. 

Dalam Ilmu Faraid terdapat satu Doktrin yang dikenali sebagai Doktrin Al-Takharruj. Doktin ini membawa maksud perdamaian. Perdamaian ini bermaksud seorang atau sebahagian ahli waris dikeluarkan dari menerima harta pusaka dan menyerahkan bahagiannya kepada seorang atau sebahagian yang lain dengan gantian dari harta peribadi seorang atau sebahagian waris yang menerima atau tiada gantian atas persetujuannya. 

Ini bermakna, apabila timbulnya isu berkaitan kaedah pemberian harta kepada ahli waris faraid, wasi yang dilantik berkewajipan menguruskannya mengikut hukum syarak. Hukum syarak di sini bermaksud wasi mendapatkan persetujuan semua waris berdasarkan doktrin Al-Takharruj atau mengikut had faraid yang ditetapkan di dalam surah as-Nisaa'. Ini yang di amalkan di Malaysia. Bukannya secara terus wasiat dianggan batal apabila terkandung di dalamnya nama ahli waris.

Kuasa wasi yang telah diberikan oleh mahkamah tinggi melalui Geran Probet adalah melaksanakan pengagihan seperti yang diwasiatkan. Sekiranya hasrat pembahagian pewasiat di dalam wasiatnya tidak mengikut had faraid yang mana pemberiannya adalah kepada sebahagian atau kesemua ahli waris faraid mengikut nisbah tersendiri, sekiranya dipersetujui oleh semua waris faraid yang berhak, maka pengagihan seperti yang dihasratkan oleh pewasiat dilaksanakan.  Ahli keluarga yang bukan dalam golongan waris yang berhak adalah tidak berhak bersuara mencampuri dalam hal ini.

Sekiranya terdapat ahli waris faraid yang membantah pengagihan kerana bahagian untuknya yang diwasiatkan adalah kurang dari had yang ditetapkan oleh faraid, maka dia boleh menuntut hak tersebut dari wasi dan wasi wajib atas menjalankan tanggungjawab perwasiannya memberikan nisbah nilai yang mencukupi had faraid waris yang menuntut. Sebagai contoh, pewasiat meninggalkan harta berjumlah RM600,000, manakala di dalam wasiatnya memberikan hanya RM60,000 kepada ayahnya yang berhak pada 1/6 bahagian berdasarkan faraid, maka bahagian yang terkurang iaitu sebanyak RM40,000 sekiranya dituntut, berhak diberikan oleh wasi kepada ayah si pewasiat. Situasi ini tidak akan membatalkan tugas-tugas pewasian yang lain juga tidak membatalkan pemberian lebihan harta kepada waris-waris yang lain.

Sekiranya pemberian di dalam wasiat memberikan samarata kepada semua waris yang terdiri daripada ibu, ayah, isteri, anak lelaki dan anak perempuan, dan dibantah oleh semua waris, maka wasi masih tetap melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan urusan pengagihan pusaka dengan menyempunakan agihan mengikut had faraid. Bantahan ini sekali lagi tidak membawa maksud kepada pembatalan wasiat.

Oleh itu, rumusan saya bagi point (b) di atas adalah sah wasiat walaupun terkandung pemberian harta kepada waris dan tertakluk kepada hukum syarak.


10% sahaja setuju manakala yang lain akan batalkan wasiat dan mengikut faraid

Penganalisis tersebut tidak menunjukkan kepada saya hasil dapatan kajian yang menunjukkan 10% sahaja yang setuju pada wasiat manakala yang lain membatalkannya dengan mengikut kadar faraid. Saya juga tidak menjumpai hasil kajian tersebut dari sumber-sumber yang lain. Saya tidak menafikan dan tidak juga mengiyakan. Ini kerana penganalisis telah salah anggap bahawa bantahan waris pada pengagihan harta membawa maksud wasiat terbatal.

Sukar untuk menunjukkan nilai statistik bantahan waris pada pengagihan harta berdasarkan wasiat dengan memilih pembahagian mengikut faraid. Ini kerana perkembangan penulisan wasiat ini masih diperingkat awal dan masih terlalu sedikit nisbah kematian berwasiat.

Di sini saya boleh kongsikan kes-kes kematian tanpa wasiat yang telah saya sendri tadbirkan. Ini kerana kematian tanpa wasiat adalah lebih popular di Malaysia dikalangan orang Islam. 

Dalam setiap 20 kes kematian tanpa wasiat, 3 daripadanya memilih untuk dibahagi mengikut faraid manakala 17 memilih mengikut persetujuan atau muafakat. Ini adalah bagi situasi kematian yang tidak berwasiat yang mana tidak digariskan oleh pemilik harta tentang hasrat pembahagian harta pusakanya. Oleh itu, pembahagian harta pusaka mengikut persetujuan (Doktrin Al-Takharruj)adalah lebih popular berbanding faraid. Oleh itu, corak yang sama ini juga mungkin boleh dilihat di dalam kes-kes kematian berwasiat.

Setakat ini saya belum pernah mendengar atau menerima sebarang laporan berkaitan wasiat yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan pengagihan yang tidak dipersetujui oleh waris.

Oleh itu, rumusan saya untuk point (c) ini adalah wasiat orang Islam tidak terbatal selagi mana ianya tertakluk kepada hukum syarak.


Kesimpulan

Orang Islam perlu lebih memahami intipati wasiat itu sendiri sebelum membuat andaian menulis wasiat. Ramai orang merasakan dirinya sudah berwasiat sedangkan sebenarnya yang ditulis itu bukan wasiat. Mahkamah syariah yang berbidang kuasa mengesahkan wasiat mungkin terpaksa mengeluarkan perintah wasiat tidak sah atas sebab ciri-ciri wasiat tidak dipenuhi. Ini mengundang salah tanggapan masyarakat yang menganggap wasiat adalah semata-mata pengagihan harta dan pengagihan kepada waris yang tidak mengikut faraid membatalkan wasiat keseluruhannya.

Dijelaskan sekali lagi di sini bahawa wasiat adalah satu dokumen khusus perlantikan wasi bagi melaksanakan pentadbiran harta pusaka bagi tujuan menyempurnakan hak-hak si mati, kebajikan terhadap harta dan waris-warisnya berdasarkan hukum syarak bagi pewasiat yang beragama Islam. Bantahan waris terhadap pengagihan harta pusaka tidak mengikut kadar atau had faraid bukanlah bermaksud membatalkan wasiat secara keseluruhannya.


-Pakar Pusaka Islam-

Dapatkan khirmat nasihat penulisan wasiat daripada perunding bertauliah Pakar Pusaka Islam dengan klik di sini

Ulasan

  1. Terima kasih di atas pencerahan puan. saya tertanya bagaimanan seorang penganalisis harta pusaka dan faraid dari Universiti Sains Malaysia (USM)itu boleh memberikan jawapan berkenaan wasiat yang kurang tepat? Adakah beliau tidak faham konsep wasiat itu sendiri.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Amalan berwasiat dalam kalangan muslim masih lagi baru, selepas 10 tahun Amanah Raya melancarkan produk wasiat (1995-2005), kesedaran Masyarakat masih ditahap minima iaitu tidak sampai 5 % yang mengambil tindakan untuk berwasiat.

      Ini disebabkan konflik pemahaman bahawa wasiat hanyalah dianggap satu surat pemberian harta kepada bukan waris yang terhad kepada 1/3 harta sahaja. Sedangkan praktikalnya kini, peranan wasiat lebih luas lagi ditambah dengan pengiktirafan undang-undang Malaysia ke atas wasiat itu sendiri.

      Padam

Catat Ulasan