Rebut Dinding Rumah Pusaka



Nampak pelik tetapi dalam hal harta pusaka, segalanya mungkin. Walaupun kita merasakan sesuatu yang hendak direbutkan itu nampak remeh, tidak munasabah atau tidak berbaloi untuk direbutkan, tetapi inilah sebenarnya yang banyak berlaku dalam hal masalah pembahagian harta pusaka.


Tanah pusaka seluas kurang seekar

1. Saya telah dipanggil oleh salah seorang pewasiat yang telah membuat wasiat dengan saya untuk hadir ke rumahnya bagi membantu menyelesaikan masalah pusaka arwah ayahnya yang telah meninggal pada tahun 1999. 

2. Harta pusaka arwah ayahnya bukanlah banyak, cuma sebidang tanah yang terletak di Sungai Kandis, Klang yang mana luasnya tidak sampai seekar. Namun masalah pembahagian harta pusaka tergendala selama lebih 15 tahun.

3. Setibanya saya di rumah pewasiat tersebut, di dapati sudah ada beberapa ahli keluarganya menunggu ketibaan saya. namun pewasiat memaklumkan semasa sesi mukaddimah bahawa ini hanya 4 orang dari 9 orang adik-beradik yang merupakan waris bagi harta pusaka arwah ayah mereka. 


Tiada kerjasama waris


4. Saya bertanya kenapa tidak dipanggil semua supaya mudah untuk berbincang dan mengambil keputusan untuk tindakan lanjut? Jawabnya, 1 orang masalah kesihatan tidak mampu berjalan, 2 orang lagi tidak diketahui alasannya tidak hadir walaupun sudah dipanggil, 2 orang lagi pula tidak berpuas hati dengan pengagihan harta pusaka yang pernah dibincangkan sebelum ini. Inilah puncanya pembahagian harta pusaka arwah ayahnya tertangguh sekian lama. Hanya kerana 2 orang adik-beradik iaitu tidak memberikan kerjasama.

5. Semasa sesi perbincangan, mereka mendedahkan bahawa banyak kali peringkat perbincangan telah diadakan dan persetujuan telah dicapai. 

6. Mereka telah bersetuju untuk membenarkan 4 orang dari waris tinggal di tanah tersebut memandangkan mereka telah membina rumah di atas tanah tersebut manakala 5 orang lagi waris menerima ganti bayaran seperti mana yang dipersetujui. 

7. Namun walaupun setuju sedemikian timbul 2 isu iaitu mengambil bayaran tetapi tidak mahu menandatangani surat akuan penerimaan bayaran, dan yang keduanya ada yang tidak berpuas hati dengan bayaran yang telah di bayar dan mahu bayaran ditambah lagi kerana beranggapan nilaian hartanah sudah meningkat.

Surat Akuan v. Surat Kuasa Mentadbir


8. Bukti pembayaran dibuat di atas satu kertas yang dianggap sebagai surat akaun penyerahan dan penerimaan wang oleh waris yang terdapat banyak kekurangannya dari sudut undang-undang seperti tidak bertarikh, tiada saksi dan tiada penjelasan tentang urusan transaksi.

9. Saya bertanya berkaitan surat kuasa mentadbir bagi urusan pindahmilik harta dari nama arwah ayah kepada nama waris-waris, namun saya diberitahu bahawa mereka menyangka dengan surat akuan tadi sudah memadai.

10. Saya menawarkan untuk membantu keluarga ini menyelesaikan konflik pembahagian harta pusaka sebelum keadaan bertambah buruk. Mereka bersetuju untuk menyerahkan segala urusan pentadbiran harta pusaka kepada saya asalkan urusan pusaka ini selesai dan mereka tidak lagi terus bergaduh adik-beradik.

11. Saya menyenaraikan dan meminta semua dokumen yang perlu. Sijil mati, sijil nikah, geran tanah, cukai tanah dan salinan kad pengenalan setiap waris bagi tujuan mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

12. Bab salinan kad pengenalan semua waris, suasana menjadi hingar bingar secara tiba-tiba. Eh kenapa pula?

Rebut Dinding Rumah Pusaka


13. Keluarlah isu perebutan dinding rumah pusaka. Salah seorang waris (selepas ini dikenali sebagai A) yang tinggal di atas tanah pusaka, yang telah mengeluarkan kira-kira RM10,000 sebagai bayaran ganti kepada waris yang tidak tinggal di tanah pusaka enggan memberi kerjasama termasuklah memberi salinan kad pengenalan. 

14. Nampak tidak masuk akal kerana telah mengeluarkan wang tetapi enggan memberi kerjasama menyelesaikan pindahmilik tanah pusaka ke atas namanya sendiri dan 3 orang yang lain. 

15. Keengganan A memberi salinan kad pengenalan berpunca daripada tidak berpuas hati dengan seorang lagi waris lain (selepas ini dikenali sebagai B) yang juga tinggal di atas tanah pusaka kerana isu berkongsi dinding rumah pusaka.

16. Bermati-matian B yang hadir dalam sesi perbincangan ini mempertahankan rumah pusaka tersebut miliknya dan tiada sebab untuknya membina dinding yang baru kerana beranggapan dinding yang sedia-ada adalah sebahagian daripada rumah pusaka.

17. A pula berkeras bahawa dinding rumah pusaka itu miliknya kerana dia yang mula-mula membina rumah di atas tanah tersebut dengan kos perbelanjaan pembinaannya sendiri tanpa ditampung oleh arwah ayahnya dan kemudian barulah arwah ayah mereka membina rumah pusaka tersebut bersambung atau menggunakan dinding yang sama.

18. Waris-waris yang lain bersungguh-sungguh mencadangkan agar B bina sahaja dinding yang baru bersebelahan dinding yang direbutkan itu, tetapi B enggan kerana ianya akan menimbulkan kos yang baru sedangkan dinding sudah ada.

19. Disebabkan hal dinding ini, proses pentadbiran pusaka tidak dapat diselesaikan sehingga lebih 15 tahun. 

20. Jika waris-waris yang terlibat dapat merendahkan sedikit ego masing-masing dengan berlapang dada dan memikirkan tentang roh arwah ayah mereka yang terseksa akibat urusan dunianya yang tidak selesai, pasti urusan pusaak ini dapat dijalankan dengan mudah.

Arwah semasa hidupnya pasti tidak menyangka bahawa hal dinding yang tidak seberapa telah menyebabkan hubungan silaturrahim antara anak-anaknya terputus. Kalaulah arwah tahu, mesti dia telah menulis semasa hidupnya.




Muat turun KIT PERMULAAN WASIAT dengan klik banner di bawah ini



Ulasan