LAMANYA PROSES PENTADBIRAN HARTA PUSAKA: PENGAJARAN DARI PENGALAMAN YANG PERIT

PENGAJARAN DARI PENGALAMAN YANG PERIT


Saya pernah duduk berbual dengan seorang pelanggan yang sedang dalam proses menderaf surat wasiatnya. Saya bertanya kepada beliau apa yang membawanya untuk datang ke pejabat saya untuk menulis surat wasiat bagi dirinya sendiri? Pelanggan secara spontan menjawab dia tidak mahu anak-anak dia melalui apa yang dia lalui sepanjang menguruskan harta pusaka arwah ibu dan ayahnya. Tambahan pula katanya dia tidak tahu samaada anak-anaknya nanti tahu atau tidak bagaimana hendak menguruskan harta pusaka. Jadi pelanggan tadi tidak mahu hartanya nanti tidak dapat dipindah milik kepada anak-anaknya selepas kematiannya nanti.

Dari penjelasannya itu seolah-olah dia faham tentang permasalahan dalam pengurusan harta pusaka. Biasanya orang yang pernah melalui proses menguruskan harta pusaka sahaja yang tahu akan kepayahan dalam menguruskan harta pusaka. Dari pengalaman perit dalam menguruskan harta pusaka yang menyentuh soal emosi, sindir-menyindir, ungkit-mengungkit, pertelingkahan mulut sehingga yang melibatkan pergaduhan fizikal dan juga berlakunya penindasan dan penafian hak dalam harta pusaka, inilah pengajaran mudah yang membawa kepada kesedaran untuk membuat perancangan harta pusaka.


Jadi, saya cuba mengorek tentang apa yang beliau telah lalui sehingga dia buat keputusan untuk menulis wasiat. Saya risau jika soalan saya ini terlalu sensitif kerana ironinya ramai yang enggan bercerita tentang masalah keluarga sendiri.

35 TAHUN URUS HARTA PUSAKA IBU DAN AYAH


Contoh kes pentadbiran harta pusaka
yang mengambil masa yang lama
Tetapi tanggapan saya silap, pelanggan sedia berkongsi apa yg dilaluinya. Jujur dia menceritakan bahawa dia telah melalui satu proses yang panjang ketika menguruskan harta pusaka arwah ibu dan ayahnya iaitu selama 35 tahun semenjak tahun 1977. Apa yang beliau kesal adalah sepanjang proses tersebut beliau tidak mendapat kerjasama dari adik-beradik dan juga anak-anak saudara terutama soal kos pengurusan harta pusaka. Disebabkan itu proses pengurusan harta pusaka telah tertangguh sehingga lebih 3 kali.

Secara tegas pelanggan bercerita bahawa dia juga bekerja. Sebagai seorang penjawat awam bukan mudah untuk dia kerap mengambil cuti semata-mata untuk menguruskan harta pusaka. Belum mengungkit soal kos-kos pengurusan harta pusaka. Sukar untuk berbincang tentang soal kos pengurusan harta pusaka yang menelan belanja agak tinggi. Tol, minyak, parking. Adik-beradik tidak mahu berkongsi keluarkan duit walau satu sen sebaliknya asyik mempersoalkan ketelusan beliau dalam menguruskan harta pusaka sehingga ada waktu beliau berputus asa untuk meneruskan proses mendapatkan surat kuasa.

Saya mula tertanya-tanya kenapa sukar sangat sehingga mengambil masa 35 tahun dan melibatkan kos yang banyak?

MELIBATKAN 78 ORANG WARIS


Pelanggan mula mendedahkan bahawa kes ini telah tertangguh lama. Banyak kematian bertindih telah berlaku yang akhirnya dia perlu mendapatkan persetujuan dari seramai 78 orang waris.

Saya hampir tersentak tetapi perkara ini bukan mustahil. Cuma apa yang saya agak terkejut bagaimana beliau lakukan secara berseorangan untuk mengumpul sebanyak 78 keping surat persetujuan dari setiap seorang waris.

Dengan nada agak sayu beliau menceritakan, selepas lebih 25 tahun kes ini tertangguh, beliau sendiri mengambil inisiatif untuk membuka semula fail iaitu selepas beliau bersara dan menanggung kos pengurusan dari duit pencen beliau sendiri. Ini kerana beliau tidak mahu arwah ibu dan ayahnya terus terseksa disebabkan harta pusaka.

Dan akhirnya, selepas terpaksa berulang-alik ke setiap rumah waris satu persatu mendapatkan dokumen dan tandatangan surat persetujuan akhirnya kes ini selesai pada tahun 2012. Bayangkan beliau terpaksa pergi ke setiap rumah waris yang semuanya bukanlah berada ditempat yang sama. Berlainan daerah dan negeri.


JANGAN ANGGAP MUDAH PENGURUSAN HARTA PUSAKA


Itulah dia. Bukan mudah menguruskan harta pusaka. jika tiada ilmu dan kesedaran, permasalahan ini tidak akan selesai.

Ramai pelanggan berjumpa saya dan berbincang tentang permasalahan pusaka keluarganya yang belum diuruskan. Saya terpaksa memilih kes-kes yang benar-benar boleh dijalankan dan boleh mendapat kerjasama waris, baru saya ambil untuk diuruskan. 


Kebanyakan kes yang terpaksa ditolak adalah kes yang melibatkan kematian berlapis yang telah berpuluh tahun dan sukar untuk mengumpulkan waris bagi mendapat kata sepakat.

Untuk mengelakkan situasi yang seumpama ini berulang pada generasi akan datang, buatlah perancangan harta pusaka sekurang-kurangnya menulis wasiat agar waris-waris kita tidak terbeban dan tidak berpecah-belah. 

Ulasan