HARTA PUSAKA PERLU DITADBIR

Pentadbiran harta pusaka adalah satu proses yang perlu dilalui oleh setiap kes kematian di Malaysia tidak kiralah samaada kematian bagi seorang Islam atau bukan Islam. Selagi proses ini tidak dijalankan sehingga selesai selagi itulah pertukaran hak milik aset-aset tak alih si mati seperti tanah dan rumah serta aset-aset alih si mati seperti duit simpanan di dalam bank, wang pelaburan, kenderaan dan juga syarikat tidak dapat dipindah milik atau diagihkan kepada ahli waris si mati.

Siapa yang perlu jalankan proses pentadbiran

Seperti yang diketahui umum, proses pentadbiran ini perlu dijalankan oleh waris faraid si mati. Apabila berlaku kematian, setelah diselesaikan segala urusan pengebumian, waris perlu mendapatkan sijil mati di Jabatan Pendaftaran Negara. Setelah sijil mati diperolehi, waris-waris atau salah seorang waris PERLU menjalankan pentadbiran harta pusaka. Proses ini adalah WAJIB bukan pilihan untuk waris jika mereka mahu harta pusaka si mati ditukar milik kepada mereka samaada mengikut pembahagian faraid atau persetujuan.

Tidakkah harta pusaka orang Islam dibahagi terus kepada ahli waris mengikut faraid?

Perbetulkan fahaman kita berkaitan faraid. Faraid ini proses atau hukum? 

FARAID adalah satu hukum atau tatacara pembahagian harta pusaka orang Islam berdasarkan hukum syarak seperti mana yang telah digariskan di dalam Surah An-Nisa ayat 11, 12 dan 176.

Jadi persoalannya di sini, bolehkah Faraid yang merupakan satu hukum berjalan dengan sendirinya?

Tidak! Seseorang perlu menjalankan satu proses pentadbiran harta pusaka bagi membolehkan faraid ini dilaksanakan. 

Siapa yang perlu jalankan proses tersebut. Semestinya WARIS perlu menjalankannya. Pada asasnya waris perlu menjalankan urusan pentadbiran ini secara sendiri dengan pergi ke tempat yang mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir (bagi kematian tiada wasiat) atau Probet (bagi kematian berwasiat).

Namun realitinya banyak masalah atau halangan untuk memulakan proses pentadbiran harta pusaka ini yang mana masalahnya berpunca dari waris sendiri iaitu: 

1. Waris tidak tahu harta pusaka si mati perlu ditadbir terlebih dahulu sebelum pindah milik boleh dibuat.

2. Waris tidak tahu proses pentadbiran harta pusaka.

3. Tidak mendapat kerjasama waris.

4. Pemikiran lama di mana mahu harta pusaka kekal turun temurun atas nama nenek moyang.

5. Tiada waris yang mengambil inisiatif atau menawarkan diri untuk mengambil tanggungjawab menguruskan harta pusaka.

6. Waris tidak mahu mengeluarkan kos.

7. Waris tidak perlu/mahu harta pusaka.

Kenapa perlu Surat Kuasa Mentadbir/Probet?

Walau apa pun alasan surat kuasa diperlukan bagi membolehkan pentadbir dilantik bagi menjalankan proses pindahmilik dan pengagihan harta pusaka tersebut. Tanpa salah satu surat tersebut, pindahmilik dan pengagihan harta pusaka tidak dapat dijalankan walaupun mengikut Faraid.

Hal inilah yang menyebabkan RM66 bilion harta terbeku! Kerana tiada pentadbir yang boleh menguruskan harta pusaka tersebut. Bukan kerana waris tidak menuntut harta tersebut tetapi TIDAK TAHU bagaimana hendak menjalankan proses pencairan harta.


Di mana waris perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir/Probet

Terdapat 3 tempat yang mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir/Probet. ianya bergantung samaada kes kematian tersebut berwasiat atau tiada wasiat.

Jika kes kematian tersebut ada meninggalkan wasiat, proses pentadbiran tersebut boleh dijalankan terus di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan Probet berdasarkan kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Jika kes kematian yang tidak berwasiat, nilai harta pusaka perlu dianggarkan terlebih dahulu. Jenis harta juga perlu ditentukan. Setelah itu barulah waris perlu membuat permohonan samaada di Amanah Raya Berhad bagi bidangkuasa yang ditetapkan di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 atau Pejabat Pusaka Kecil bagi bidangkuasa di bawah Akta Pusaka Kecil Pembahagian 1955 atau di Mahkamah Tinggi berdasarkan bidangkuasa yang ditetapkan di bawah  Akta Probet dan Pentadbiran 1959.


Bolehkah waris melantik pihak ketiga untuk menguruskan proses pentadbiran?

Proses pentadbiran sebenarnya tidak sukar dijalankan sekiranya waris mempunyai pengetahuan, kelapangan masa dan mendapat kerjasama dari waris yang lain. Namun realitinya perkara ini sukar dijalankan atas alasan atau masalah yang telah dinyatakan di atas.

Oleh itu, waris boleh mendapatkan bantuan dari pihak ketiga iaitu:

1. Peguam
2. Syarikat Amanah

Syarikat Amanah boleh membantu waris dalam memudahkan proses pentadbiran atau juga boleh dilantik terus sebagai Pentadbir (kes tiada wasiat) atau Wasi di dalam wasiat bagi melancarkan proses pentadbiran dan juga pengagihan harta pusaka. Antara syarikat Amanah yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 adalah as-Salihin Trustee Berhad yang merupakan satu-satunya syarikat amanah di Malaysia yang menguruskan perancangan dan pentadbiran harta pusaka khusus untuk orang Islam.

Ulasan