PRAKATA WASIAT MUDAH FAHAM

Kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia terhadap kepentingan berwasiat kian meningkat. Semakin ramai secara sukarela telah mula menyediakan wasiat demi memastikan urusan pembahagian harta pusaka kepada ahli waris berjalan lancar.

Walaupun pola peningkatan ini dilihat sebagai satu perkembangan positif, namun impak daripada penyediaan wasiat tersebut masih tidak seperti yang sepatutnya.

Berbagai-bagai kempen kesedaran telah dijalankan di pelbagai peringkat dan saluran untuk menyampaikan kepada masyarakat akan keperluan berwasiat pada masa ini. Walau bagaimanapun usaha tersebut dilihat tidak dipantau dan tidak bermodul. Dalam erti kata lain, masyarakat hanya didedahkan tentang saranan untuk berwasiat tetapi tidak dipandu tentang penyediaan wasiat yang diiktiraf oleh undang-undang.

Ekoran daripada kurangnya panduan dan bimbingan dalam penulisan wasiat, telah mendorong penghasilan wasiat yang tidak selaras dengan kehendak undang-undang dan hukum syarak. Adakah wasiat-wasiat ini boleh diterima pakai dalam pentadbiran harta pusaka kelak?

Akibat daripada kelompongan tersebut sejumlah besar wasiat yang dibuat menjadi sia-sia. Masalah terbesar adalah pada waris. Fenomena ini menjadi lebih rumit bilamana disulami dengan sikap ego waris-waris yang enggan mengakui dan menerima wasiat.

Waris-waris keliru praktis pelaksanaan wasiat sebenar. Ketidakfahaman dalam undang-undang wasiat memaksa waris memilih laluan sukar dalam mentadbir harta pusaka.

Ini bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh pewasiat. Sehingga bila waris-waris akan terus terbeban dengan masalah pentadbiran harta pusaka yang sememangnya telah berada di tahap kritikal ini?

Selain itu, masyarakat juga bergelut dengan salah faham  dalam pentadbiran wasiat. Tanggapan masyarakat Islam bahawa perundangan Malaysia dalam pentadbiran wasiat melalui saluran sivil di Mahkamah Tinggi adalah tidak selari dengan undang-undang syarak yang bersumberkan al-Quran dan Sunah.

Konflik perundangan ini jelas mengelirukan masyarakat sehinggakan ramai beranggapan bahawa waris perlu memilih antara perundangan syarak atau sivil. Sejauh manakah tanggapan ini benar?

Bukan sahaja konflik perundangan ini mencetuskan masalah penerimaan waris-waris terhadap wasiat, malah prosedur pelaksanaan juga dilihat bercelaru dan membebankan masyarakat. Masyarakat awam masih kabur tentang peranan institusi-institusi kerajaan dalam mentadbir wasiat walaupun undang-undang berkaitan pentadbiran harta pusaka dan wasiat telah digubal dan digazetkan seawal tahun 1959.

Sampai bilakah masyarakat hendak dibiarkan terus terhimpit dengan masalah legitimasi wasiat, konflik perundangan dan kekeliruan dalam prosedural?

Buku Wasiat Mudah Faham ini dihasilkan bertujuan sebagai wadah menyalurkan pemahaman dalam  kalangan masyarakat tentang prinsip sebenar wasiat dan praktis sebenar di Malaysia dengan memfokuskan kepada masyarakat Islam.

Buku ini terbahagi kepada 4 bab. Bab 1 menghuraikan wasiat dari perspektif hukum syarak dan merungkai isu-isu serta persoalan yang berkaitan hukum syarak bagi wasiat orang Islam.

Bab 2 menerangkan tentang praktis sebenar pentadbiran harta pusaka di Malaysia dan kedudukan wasiat Islam dalam proses pentadbiran harta pusaka. Bab ini mengupas secara menyeluruh sistem perundangan Malaysia yang memberi kesan kepada proses pewarisan harta pusaka. Penerangan di dalam bab ini tidak terhad kepada harta pusaka orang Islam malah merangkumi semua kes kematian yang melibatkan harta-harta yang berdaftar dan di simpan di Malaysia.

Bab 3 pula meliputi panduan penyediaan wasiat sebenar yang dianjurkan oleh Islam dan memenuhi kehendak perundangan Malaysia. Bab ini akan menjelaskan tentang perkara utama yang membentuk wasiat serta membezakannya dengan klausa tambahan sebagai pilihan pewasiat. 

Bab 4 pula merupakan panduan kepada waris-waris dalam proses pelaksanaan wasiat selepas kematian pewasiat agar waris dapat mentadbir kes kematian berwasiat sewajarnya seterusnya mendapat manfaat daripada wasiat tersebut.

Keistimewaan buku ini adalah setiap penerangan disertakan carta infografik yang membuatkan pembaca mudah faham. Semoga buku ini dapat memberi pemahaman kepada masyarakat muslim di Malaysia tentang prinsip sebenar wasiat dan aplikasinya agar manfaatnya dapat diperolehi dan dinikmati bersama.

Dapatkan buku WASIAT MUDAH FAHAM melalui agen kami. Buku ini tidak dijual di kedai buku.

Agen buku kami:

1. PIDAUS MUSTAFA: 0132486216

2. NORAINI OTHMAN: 0177514145

3. SALLEH KASMON: 0193558361

Ulasan