SOAL HARTA: INI SEBAB KITA PERLU TULIS WASIAT!

Soal Harta
Kisah 2
PERLUKAH AYAH SAYA BUAT WASIAT ATAU HIBAH?
Soalan yang sering diajukan oleh kebanyakan anak-anak yang prihatin.
Soalan balas peguam:
Pernahkan kamu sekeluarga merancang untuk mengadakan Hari Keluarga atau percutian keluarga?
Andaikata kita mempunyai 8 orang beradik, semuanya sudah berkahwin dan alhamdulillah dikurniakan anak-anak. Ada yang mempunyai anak yang ramai, ada yang cuma seorang anak dan ada juga yang tidak dikurniakan anak. Masing-masing sudah ada gaya hidup masing-masing.
Ada adik-beradik kita yang bekerjaya, bekerja professional seperti guru, jurutera dan pegawai kerajaan. Namun ada juga adik beradik kita yang mungkin rezekinya hanya sebagai pekerja kilang atau pembantu kedai makan.
Ada adik-beradik kita yang selalu pulang ke kampung kita, dan ada juga adik-beradik yang lebih rapat dengan keluarga pasangan.
Ada adik-beradik yang suka berkongsi masalah rumahtangga dan ada juga yang suka menyendiri apabila dirundum masalah.
Ada adik-beradik kita yang hidupnya senang, tinggal dirumah sendiri dan berkereta mewah. Namun ada juga adik-beradik yang masih duduk menyewa dan berjuang setiap bulan untuk membayar hutang.
Tibalah pada satu waktu terkeluarlah idea untuk mengadakan satu hari keluarga. Perbincangan diadakan di dalam group whatsapp dan perjumpaan keluarga di rumah kampung.


Dalam perbincangan whatsapp berbagai tempat dicadangkan dan aktiviti dirancang. Semuanya akan melibatkan kos. Dilantiklah seorang bendahari untuk membuat kira-kira. Setelah dikira kos penginapan, kos makanan dan kos aktiviti, setiap ahli keluarga dikehendaki menyumbang sebanyak RM150.
Terus dipersetujui oleh beberapa adik-beradik yang melihat kos RM150 itu amat sesuai dan munasabah. Tetapi hanya beberapa. ada yang tiba-tiba menyepi. Tidak membalas untuk menandakan sokongan atau menyuarakan bantahan.
Pada yang lain, terus seronok membincangkan tentang persediaan tersebut.
Tanpa sedar, rupanya ada yang sedang berbincang sesama pasangan dan mengeluh untuk mengeluarkan kos sebanyak itu. Ada pula rupa-rupanya sudah menubuhkan satu group whatsapp baru untuk mengecam apa sahaja yang tidak dipersetujui.
Program hari keluarga semakin hampir. Ada yang datang bertandang ke rumah adik-beradik dan balik ke kampung untuk bercerita dan berbincang tentang persiapan.
Rasa tidak sedap muncul apabila ada yang buat muka ketat dan terus keluar dari rumah kampung dengan alasan ada hal nak diuruskan.
Tiba-tiba timbul persoalan, "kenapa mahal sangat nak kena bayar?, kenapa nak buat dekat tempat tu? kan ada yang jauh susah nak datang", "kenapa pilih tarikh ni? kan susah ada yang tak boleh cuti".
Kenapa itu, kenapa ini...kenapa tak terus tanya dalam group whatsapp ahli keluarga? kenapa tidak hadir bila buat perjumpaan keluarga? Kenapa tak bantah dan cadang dari awal-awal perbincangan lagi?
Akhirnya, hari keluarga di'TANGGUH'kan.
JAWAPAN kepada soalan perlukah ayah saya membuat wasiat atau hibah adalah YA, SANGAT PERLU.
Baru cerita nak buat hari keluarga pun dah ada yang tak setuju, tak puas hati dan buat pakatan lain menentang...apatah lagi nanti apabila ayah tiada, hendak berbincang tentang pusaka ayah...KIRIM SALAM.

Ulasan