MASALAH DALAM MEMULAKAN PROSES PENTADBIRAN HARTA PUSAKA

Masalah dalam menguruskan harta pusaka

Dalam catatan sebelum ini telah dibincangkan tentang harta pusaka perlu ditadbir. Tetapi terdapat masala-masalah yang menghalang proses pentadbiran itu dimulakan. Maksudnya masalah timbul sebelum proses permohonan dijalankan di mana masalah ini timbul diperingkat perbincangan antara waris lagi, bukan masalah prosedur atau birokrasi pentadbiran.

Sepatutnya proses mendapatkan surat kuasa ini mudah dan cepat. Tempoh masa untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir juga tidak lama. Norma pengurusan harta pusaka diperingkat pejabat pusaka kecil adalah sekitar 6 bulan dari permohonan difailkan di pejabat pusaka. Manakala di mahkamah tinggi lebih singkat dari tempoh itu.

Difahamkan di sini bahawa tempoh 6 bulan itu dikira bukan dari tarikh kematian sebaliknya dari tarikh permohonan difailkan.

Terpikirkah kita, dari mula berlakunya kematian, agak-agaknya bilakah waris akan failkan permohonan tersebut? Sebulan selepas kematian? Setahun selepas kematian? 10 tahun selepas kematian? atau tidak memfailkan langsung?

Inilah dilema yang dihadapi oleh majoriti waris apabila berlaku kematian ahli keluarganya.

Masalah biasa yang selalunya timbul sebelum permohonan difailkan untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pengagihan adalah:

1. Waris tidak tahu harta pusaka si mati perlu ditadbir terlebih dahulu sebelum pindah milik boleh dibuat. Pergaduhan selalunya tercetus disebabkan waris tidak tahu bahawa harta pusaka perlu ditadbirkan. Waris yang tidak tahu ini akan terus berebut menuntut hak antara satu sama lain sedangkan jika ada yang menang dalam pergaduhan itu pun belum tentu dia mendapat harta tersebut.

 2. Waris tidak tahu proses pentadbiran harta pusaka. Dokumen apa yang diperlukan semasa membuat permohonan? Di mana harus permohonan tersebut dibuat? Oleh kerana waris tidak tahu bagaimana harta pusaka perlu diuruskan, kebanyakan waris akan terus membiarkan sahaja harta pusaka tersebut tidak ditadbir untuk dipindah milik.

3. Tidak mendapat kerjasama waris. Ada waris yang hendak mengambil inisiatif menguruskan harta pusaka tersebut, tetapi malangnya ada waris lain yang enggan memberikan kerjasama seperti tidak hadir bicara atau tidak mahu menyerahkan dokumen sepatutnya seperti salinan kad pengenalan, dokumen berkaitan si mati seperti geran tanah dan lain-lain.

4. Waris berfikiran lama yang mana mahu harta pusaka dikekalkan turun temurun atas nama nenek moyang. Waris beranggapan bahawa jika harta pusaka tersebut dibahagi-bahagikan, akan ada waris yang akan menjualnya kepada orang luar yang akhirnya harta tersebut habis. Oleh itu mereka beranggapan biarlah harta itu kekal atas nama si mati walaupun berabad lamanya.

5. Tiada waris yang mngambil inisiatif atau menawarkan diri untuk mengambil tanggungjawab menguruskan harta pusaka. Hal ini biasanya berlaku kerana kesibukan waris terhadap komitmen kerja dan keluarga yang menyebabkan mereka tiada masa untuk menguruskannya lebih-lebih lagi jika waris bekerja dan tinggal di kawasan luar bidangkuasa pentadbiran harta pusaka tersebut.

6. Waris tidak mahu mengeluarkan kos. Semestinya setiap pengurusan mempunyai kos. begitu juga pengurusan harta pusaka. terdapat kos-kos yang perlu dikeluarkan dahulu oleh waris seperti kos penyediaan dokumen, yuran pemprosesan dan juga kos minyak kenderaan, tol dan parking. Walaupun pada hukumnya kos-kos tersebut boleh digantikan dengan harta pusaka yang diuruskan, namun kebanyakkan waris berat untuk mendahulukan wang mereka untuk urusan tersebut.

7. Waris tidak perlu atau mahu harta pusaka. Agak janggal mendengar waris tidak mahu menuntut harta pusaka. namun perkara ini tidak mustahil bilamana waris yang berjaya dan lebih kaya atau tinggal menetap jauh dari lokasi harta pusaka untuk mengambil keputusan membiarkan sahaja harta pusaka tersebut.

Inilah antara masalah-masalah yang telah menyebabkan kira-kira RM66,000,000,000 harta pusaka terbeku yang masih atas nama orang mati setakat tahun 2013.

Tiada penyelesaiankah?

Apapun masalah pasti ada penyelesaiannya. Waris boleh menggunakan perkhidmatan pihak ketiga seperti peguam dan syarikat amanah seperti as-Salihin Trustee Berhad yang mana dibolehkan dari sudut undang-undang untuk mewakili waris mendapatkan surat kuasa mentadbir dan perintah pembahagian.

Tetapi kenapa kita hendak biarkan hal ini telah berlaku dan membebankan waris-waris kita untuk menguruskannya? Tiadakah solusi diperingkat lebih awal? Seperti kata pepatah "sediakan payung sebelum hujan" bukanlah "sudah terhantuk baru tergadah."

Ya! ada persediaan yang boleh dilakukan oleh seseorang individu bagi memastikan harta pusakanya sendiri selepas berlaku kematiannya tidak akan terbeku dan dapat dipindahmilik kepada waris TANPA MEMBEBANKAN waris.

Bagaimana?

Lakukan perancangan harta pusaka lebih awal sebelum mati seperti menulis Wasiat! kerana wasiat adalah dokumen utama yang akan berkuatkuasa selepas kematian kita.

Ulasan